CERPEN
Cerpen atau cerita pendek menurut Othman Puteh (1988:11), adalah merupakan cerita rekaan berbentuk prosa yang relatif pendek. Kependekannya masih tidak jelas ukuran, masih tidak tetap jumlah perkataannya.
Ciri-ciri Cerpen
Dari segi jumlah perkataan adalah diantara 500 hingga 20 000 patah perkataan. Cerpen terbahagi kepada dua iaitu cerpen yang pendek (500 hingga 2000 patah perkataan). Cerpen yang panjang pula dengan jumlah lebih 10 ribu perkataan. Cerpen dibaca dalam waktu yang singkat dan tidak melebihi setengah jam.
Tema dan Persoalan
Cerita hanya satu sahaja dan tidak bercabang atau meranting seperti novel. Ini bererti satu tema cerita menjadi tumpuan sejak permulaan cerita berkembang sehingga menemukan titik akhir atau penyelesaian.
Memiliki hanya satu plot yang dikenali sebagai plot utama dan tiada plot sampingan.
Jumlah watak yang terhad, sedikit dan tidak perlu ramai. Memadai satu hingga tiga watak yang dominan yang menghidupkan cerita.
Latar atau setting yang singkat dan terhad. Masa yang diambil untuk sesuatu perjalanan ataupun garapan cerita tidak lama mungkin dalam tempoh beberapa jam atau sehari sahaja.
Ciri-ciri Cerpen
Dari segi jumlah perkataan adalah diantara 500 hingga 20 000 patah perkataan. Cerpen terbahagi kepada dua iaitu cerpen yang pendek (500 hingga 2000 patah perkataan). Cerpen yang panjang pula dengan jumlah lebih 10 ribu perkataan. Cerpen dibaca dalam waktu yang singkat dan tidak melebihi setengah jam.
Tema dan Persoalan
Cerita hanya satu sahaja dan tidak bercabang atau meranting seperti novel. Ini bererti satu tema cerita menjadi tumpuan sejak permulaan cerita berkembang sehingga menemukan titik akhir atau penyelesaian.
Memiliki hanya satu plot yang dikenali sebagai plot utama dan tiada plot sampingan.
Jumlah watak yang terhad, sedikit dan tidak perlu ramai. Memadai satu hingga tiga watak yang dominan yang menghidupkan cerita.
Latar atau setting yang singkat dan terhad. Masa yang diambil untuk sesuatu perjalanan ataupun garapan cerita tidak lama mungkin dalam tempoh beberapa jam atau sehari sahaja.
ANTARA HASIL KARYA
RENTAK KEHIDUPAN
Jarum jam menunjukkan angka lima pagi, tetapi aku masih lagi berlingkar di atas katil. Entah kenapa pagi ini mataku terasa begitu berat sekali untuk dibuka. Di luar sana kedengaran ayam jantan sedang berkokok dengan nyaringnya. Sedang aku lena diulit mimpi, tiba-tiba aku terdengar suara emak memanggil namaku dan menyuruhku segera bersiap untuk ke sekolah. Perlahan-lahan aku bangkit dari tidur dan terus menurut kata emak. Tuala lusuh kucapai lalu terus bergegas ke bilik air. Ketika aku sedang bersarapan, aku lihat emak seperti tidak bermaya.
“Mak , Lia tengok mak macam tak sihat je. Mak sakit ke?” tanya Lia.
“Taklah Lia, mak cuma rasa tak sedap badan, mungkin sebab mak terlalu penat bekerja sehari dua ni, Lia tak payah risau lah.”
“Lia bukannya apa mak, Lia takut nanti sakit mak melarat.”
“Mak tak apa-apa Lia. Mak tidur kejap, hilanglah sakit mak ni. Lia cepatlah pergi sekolah, nanti lambat sampai pula.”
“Mak, nanti kalau rasa sakit mak semakin teruk, pergilah klinik ye. Mak, Lia dah lewat ni. Lia pergi dulu.”
Sekitar jam 7.15 pagi, Alia tiba di sekolahnya. Dia bergegas ke kelasnya di Blok Kelisa yang berhadapan dengan bilik guru. Kelihatan ramai rakan sekelasnya yang sudah tiba. Tiba-tiba, Dyana yang merupakan rakan sekelas dan juga kawan baik Alia datang menegurnya.
“Hai Lia, kau dah siap ke belum latihan yang Cikgu Mel bagi semalam?” tanya Dyana.
“Aku dah siap dah, tapi ada satu soalan tu buat aku confuse la. Tak tahu sama ada betul ke salah apa yang aku jawab tu,” jawab Lia. Jujur.
“Soalan yang mana satu?” tanya Dyana penuh minat.
“Soalan nombor lapan. Kau faham ke soalan tu Dyana?” soal Lia.
“Hmm, aku pun tak dapat jawab juga soalan tu. Nantilah kita jumpa Cikgu Mel suruh dia terangkan kepada kita.”
“Bagus juga idea kau tu. Aku pun nak jumpa Cikgu Mel, nak hantar latihan Matematik aku ni. Apa kata lepas habis waktu sekolah kita pergi jumpa dia?”
“Aku setuju je, nanti kita jumpa petang nanti.”
“Ok.”
**********
“Eh, Lia kenapa kau lambat masuk kelas?” tanya Lisa.
“Er…tadi aku ada hal, kenapa?” soal Lia.
“Aku ada benda nak tanya kau ni.”
“Apa dia yang kau nak tanya aku?” soal Lia lagi.
“Ala, pasal pertandingan bola jaring yang akan datang nanti. Kau masuk tak?” tanya Lisa.
“Hmm, aku rasa tahun ni aku tak main sebab aku nak beri tumpuan pada peperiksaan SPM. Lagipun, emak aku dah pesan suruh aku tumpuan pada pelajaran. Dia tidak mahu aku terkandas nanti,” terang Lia.
“ Kalau kau tidak turut serta, tak seronok la pertandingan tu nanti,” omel Lisa.
“Apa yang tak seronoknya? Janji kau main dengan bersungguh-sungguh pasti kau akan rasa seronok,” terang Lia.
“Tapi, tetap tak sama. Tak apa la yang penting aku akan pastikan kejuaraan tahun ini adalah milik kita,” balas Lisa dengan penuh yakin.
Ketika sedang asyik berbual, Cikgu Sarah masuk ke kelas bersama dengan seorang pelajar lelaki. Cikgu Sarah memperkenalkan pelajar lelaki itu kepada kami. Namanya Mohd Danial Bin Lokman. Dia mengikut ayahnya yang bertukar tempat kerja ke sini. Aku melihat pelajar perempuan kelasku saling berbisik sesama mereka. Maklumlah ada pelajar baru, semua orang pasti sibuk hendak berkenalan nanti. Semua itu merupakan perkara lumrah bagi mana-mana sekolah. Sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa dan apabila waktu persekolahan tamat aku dan Dyana pergi berjumpa dengan Cikgu Mel. Banyak perkara yang kami bincangkan bersama.
“Assalamualaikum mak. Mak dah sihat ke?” tanya Lia.
“Waalaikummussalam. Mak dah sihat dah Lia. Mak bukannya sakit teruk, pagi tadi mak cuma rasa tidak sedap badan. Sekarang ni dah rasa sihat dah.”beritahu Puan Alina, emaknya.
“Kalau macam tu tak apa la, Lia bukan apa, Lia takut sakit mak tu melarat je.” terang Lia.
“Lia pergi mandi dulu, kejap lagi kita makan sama-sama,” suruh emaknya.
“Baiklah mak.” jawab Lia.
Begitulah rutin seharianku, sentiasa bersama dengan emak kerana dalam rumah ini hanya ada kami berdua. Aku tidak mempunyai adik-beradik yang lain dan aku juga tidak mempunyai ayah. Menurut cerita emak, mereka berpisah sebelum aku dilahirkan lagi ke dunia ini. Mereka berpisah disebabkan emak bukanlah calon pilihan nenekku. Hal ini mungkin kerana emak merupakan anak yatim piatu yang tidak diketahui keturunannya. Disebabkan itu nenekkku tidak mahu menerima emak sebagai menantunya. Neneku juga telah memaksa ayah untuk bercerai dengan emak. Jika tidak melakukan seperti apa yang dikehendakinya, dia tidak akan mengakui ayahku ialah anaknya. Disebabkan emak tidak mahu ikatan kekeluargaan antara ayah dan nenekku terputus, emak telah memilih untuk mengundurkan diri. Pada waktu itu emak tidak menyedari yang dirinya mengandungkan diriku dan emak juga telah berpindah dari situ. Bermula dari saat itu emak tidak pernah lagi berjumpa dengan ayah. Walaupun aku tidak mengenali siapa ayahku, tetapi aku tetap bahagia menjalani kehidupan selama ini kerana aku tahu tidak semua perkara yang kita impikan akan kita perolehi dalam hidup ini.
Pagi itu aku ke sekolah seperti biasa, tetapi aku bersendirian kerana Dyana tidak datang ke sekolah. Aku mengayuh basikal perlahan-lahan sambil menikmati suasana pagi yang aman damai. Aku amat sukakan suasana pagi, kerana udaranya segar dan tidak dicemari asap dari kenderaan. Selain itu, pada waktu pagi jalan raya juga tidaklah terlalu sibuk seperti waktu petang. Perjalanan untuk sampai ke sekolahku hanya mengambil masa kira-kira 20 minit. Apabila aku sampai di sekolah aku lihat Danial sudah berada di dalam kelas. Dalam hatiku sempat berkata “awal budak ini sampai, selalunya budak lelaki jarang yang datang kelas awal. Mereka ini selagi loceng pagi tidak berbunyi, selagi itu mereka tidak masuk ke kelas.” Aku terus masuk ke kelas dan mengambil tempat dudukku. Aku lihat jam baru menunjukkan pukul 7.05 pagi, masih ada 15 minit sebelum loceng berbunyi. Lantas aku mengeluarkan buku notaku dan membaca buku untuk mengelakkan masa terbuang begitu sahaja. Sesekali aku terdengar kawan-kawan sekelasku sedang berbual-bual dengan Danial. Mereka ini memang pantang ada budak baru, semua perkara mereka hendak tahu. Tidak lama kemudian loceng pagi berbunyi dan kelas bermula seperti biasa.
Ketika aku keluar dari kelas untuk ke kantin aku melihat Faris berada di luar kelas. Seminggu dia tidak datang ke sekolah kerana mewakili sekolah dalam perkhemahan badan beruniform peringkat negeri.
“Hai, Lia lama tak jumpa kau, kau sihat ke?” tanya Faris.
“Aku sihat. Macam mana dengan perkhemahan kau? Seronok ke?” soal Lia.
“Mestilah seronok, semua sekolah menyertainya. Kalau kau pergi sama lagi seronok. Banyak aktiviti yang menarik disediakan. Aku rasa kalau kau pergi mesti tak nak balik,” jawab Faris.
“Aku bukan tak nak turut serta perkhemahan itu, aku cuma risau nak tinggalkan emak aku seorang diri di rumah. Tambah-tambah lagi emak aku sering saja tak sihat.”
“Hendak buat macam mana dah bukan rezeki kau untuk ke sana. Jomlah kita ke kantin. Aku dah lapar ni,” ajak Faris.
Aku dan Faris memang berkawan rapat. Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak dari tingkatan satu lagi. Dia seorang yang baik dan mudah untuk dibawa berbincang. Kedua-dua orang tua Faris merupakan doktor dan keluarga mereka jauh lebih senang dari keluarga aku tetapi tidak sombong dan dia ikhlas berkawan dengan semua orang. Semua pelajar-pelajar yang mengenali kami mengatakan yang kami sedang asyik bercinta. Padahal aku hanya menganggap Faris itu tidak lebih dari seorang kawan sahaja. Ketika dalam perjalanan untuk ke kantin aku terserempak dengan Danial dan aku hanya tersenyum padanya semasa kami berselisih. Apabila melihat aku tersenyum kepada budak lelaki yang berselisih dengan kami, Faris sibuk hendak mengetahui siapa Danial kerana sebelum ini dia tidak pernah melihatnya. Setibanya di kantin aku menceritakan perkembangan semasa sepanjang ketiadaan dia di sekolah. Tidak lama kemudian, waktu rehat pun tamat dan kami bergegas untuk ke kelas masing-masing. Semasa aku masuk ke dalam kelas, aku melihat Cikgu Aminah sudah berada dalam kelas dan sedang memanggil nama pelajar untuk membentuk kumpulan kecil. Setiap kumpulan mempunyai empat orang ahli dan Danial termasuk dalam kumpulan aku.
Kami diminta berbincang dalam kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan diminta membuat perbincangan tentang tajuk yang diberikan dan perlu menerangkan dalam kelas pada minggu hadapan.
“Alia, macam mana dengan tajuk kita ni? Aku rasa soalan ini macam susah sanga,” soal Fatin.
“Aku tak rasa pun soalan ini susah sangat. Kau tak payah risaulah, nanti kita sama-sama berbincang apa yang patut kita dibuat,” jawab Alia.
“Danial, pada pandangan kau macam mana pula?” soal Athirah kepada Danial yang sedang asyik melihat bukunya.
“Emm, aku setuju dengan pandangan Alia. Soalan ni bukan payah sangat. Kita pasti boleh buat punya,” jawab Danial sambil tersenyum.
Selepas waktu persekolahan kami bersama-sama pergi ke perpustakaan dan berbincang bagaimana hendak menyiapkan tugasan tadi. Bermula dari saat itu aku mula berkawan dengan Danial dan banyak masa dihabiskan bersama. Sebelum ini aku tidak mengetahui yang Danial, merupakan pelajar cemerlang semasa berada di sekolah lamanya. Aku hanya mengetahuinya setelah kami belajar bersama-sama. Danial sangat pandai dalam mata pelajaran Matematik Tambahan dan dia sudi untuk membantu aku yang agak lemah dalam mata pelajaran ini. Ketika aku sedang asyik mengulangkaji pelajaran bersama Danial, aku tidak menyedari yang Faris menuju ke arah kami. Waktu itu tiada guru yang mengajar kerana semua guru menghadiri mesyuarat.
“Alia.” panggil Faris.
“Oh, Faris! Ada apa kau cari aku?” soal Alia.
“Takkan nak kena ada apa-apa hal baru boleh jumpa kau.” jawab Faris dalam keadaan yang agak dingin.
“Bukan macam itu maksud aku. Aku cuma bertanya kalau-kalau ada apa-apa hal yang penting. Selalunya kau datang cari aku waktu rehat dan waktu balik dari sekolah.” terang Alia agar Faris tidak salah faham dengannya.
Pada waktu yang sama, Alia mengajak Faris untuk bercakap di luar kelas kerana tidak mahu orang lain menganggap berlaku sesuatu perkara yang bukan-bukan. Alia mengetahui yang Faris sedang cemburu dengan dirinya kerana sejak kebelakangan ini dia agak rapat dengan Danial padahal dia tidak mempunyai maksud lain. Dia hanya berkawan dengan Danial sebagaimana dia berkawan dengan Faris.
“Faris, kenapa dengan kau ini? Marah-marah tak tentu pasal. Malulah aku semua budak dalam kelas pandang aku semacam, seperti aku ada buat salah,” soal Alia.
“Aku bukan apa, sejak kebelakangan ini aku tengok kau semakin rapat dengan Danial. Selalu juga aku nampak kau study group dengan dia, dengan aku kau tak ajak pun,” terang Faris.
“Bukan kau tak tahu aku ni tak berapa pandai dalam Matematik Tambahan, sebab itu aku minta dia ajarkan. Kalau aku tanya kau bukan kau tahu pun, kau kan tidak ambil mata pelajaran itu,” jawab Alia sambil tersenyum.
Faris berada dalam keadaan serba salah kerana dia cepat menuduh sesuatu tanpa usul periksa.
“Alia, kau maafkan aku ya? Aku bukan sengaja nak cakap yang bukan-bukan. Aku juga bukan nak halang kau dari berkawan dengan sesiapa yang kau suka. Aku cuma aku tak nak kau terlalu rapat dengan Danial sebab aku tengok dia tu macam ada hati dekat kau je,” terang Faris dengan wajah yang serius.
“Aku sedia maafkan kau sebab aku dah tahu sangat perangai kau tu macam mana. Tentang hal Danial ni kau tak payah risau la, aku hanya anggap dia sebagai kawan biasa je. Aku malas nak fikir tentang cinta ni. Lagipun peperiksaan SPM dah nak dekat, aku tak nak serabutkan kepala fikirkan benda yang bukan-bukan,” jawab Alia dengan panjang lebar.
“Oklah, aku masuk kelas dulu. Kau pergi la sambung balik latihan kau tadi. Tapi jangan sibuk nak bercinta pula,” pesan Faris kepada Alia.
“Baiklah Encik Faris Haikal. Saya akan dengar nasihat encik tu.” jawab Alia sambil bergurau.
“Amboi, Alia! Happy nampak lepas jumpa boyfriend,” gurau Atikah.
“Kau ni Tikah jangan nak cakap benda yang mengarut. Tadi aku ada hal nak bincang dengan Faris,” terang Alia.
“Yelahlah tu. Padahal sibuk bercinta dengan abang kesayangan dia.” gurau Atikah. Sengaja hendak mengusik Alia.
“Lantak kaulah. Malas aku nak bertekak dengan kau.” jawab Alia yang malas hendak melayan Atikah yang dari dulu tidak habis-habis hendak mengusik dia.
Alia kembali ke tempat duduk.
“Maaf la Danial, tadi aku ada hal,” terang Alia.
“Tak apa. Aku tak kisah. Lelaki tadi tu siapa?” soal Danial.
“Oh, tadi tu Faris. Dia kawan baik aku. Aku dah berkawan dengan dia sejak dari tingkatan satu lagi,” terang Alia
“Betul ke kawan baik kau, aku tengok macam orang bercinta je?” soal Danial lagi.
“Betul la. Buat apa aku tipu kau? Kami hanya kawan la. Kau ni baru sehari dua berada dekat sini sudah pandai nak menyakat orang. Ni mesti kau belajar dari Atikah dengan Fatin kan? Mereka ni tak patut la ajar kau yang bukan-bukan,” bebel Alia.
“Aku tak belajar dengan dia orang la. Aku teka je. Saja nak sakat kau,” terang Danial.
“OK la, kita lupakan hal tadi. Kita sambung latihan kita ni,” cadang Alia.
“OK,” balas Danial sepatah.
Masa berjalan dengan begitu pantas. Kini hanya tinggal sebulan lagi sebelum aku menghadapi peperiksaan SPM. Bagi memastikan aku lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM, aku banyak menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran bersama kawan-kawan. Kadang-kadang Faris dan Danial juga turut sama menyertai study group bersama aku, Dyana dan Fatin. Kami saling membantu antara satu sama lain supaya kami dapat menjawab soalan peperiksaan nanti dengan yakin.
Petang itu aku sendirian berbasikal untuk pulang ke rumah kerana Dyana mempunyai hal lain. Semasa sampai di selekoh jalan raya berdekatan dengan rumahku, aku tidak menyedari ada kereta yang menghala ke arah aku. Tiba-tiba aku tersedar dan menyedari aku sudah berada di atas jalan raya. Aku mengalami luka-luka kecil. Seorang lelaki dalam lingkungan 50-an menghampiriku. Waktu itu aku tidak dapat berdiri, mungkin kerana aku masih dalam keadaan terkejut. Pak cik itu menghantar aku pulang ke rumah kerana basikal aku sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.
“Assalamualaikum mak!” aku berteriak memanggil emakku.
“Waalaikummusalam. Eh, Lia kamu kenapa ni?” tanya emak Alia dalam keadaan terkejut.
“Maafkan saya puan. Semasa saya melalui selekoh, saya tak perasankan dia. Terus saya langgar sebab dah tak sempat nak elak,” jelas pak cik yang melanggar aku tadi.
Emak tiba-tiba terdiam sambil memandang muka pak cik yang melanggar aku tadi. Tiba-tiba muka emak berubah.
“Ini abang Rahim ke?” tanya emak kepada lelaki itu.
“Ya, saya Rahim. Kamu siapa?” sambil cuba mengecam emak Alia.
“Alina! Ini kamu ke? Sudah lama abang mencari kamu. Abang ingin minta maaf dengan kamu kerana meninggalkan kamu dahulu. Maafkan abang. Abang sudah banyak buat silap dengan kamu. Abang memyesal meninggalkan kamu dahulu,” terang pak cik tadi yang bernama Rahim itu.
“Abang tak ada buat salah apa-apa dengan Alina. Mungkin sudah tersurat yang jodoh kita tidak kekal.”
“Mak siapa pak cik ni?” tanya Alia kepada emaknya.
“Lia, pak cik ni sebenarnya ayah kandung Lia,” beritahu Puan Alina.
“Abang, maafkan Alina sebab tidak memberitahu yang Alina mengandung. Sebenarnya, Alina sendiri tak tahu yang Alina mengandung masa tu. Sebulan selepas kita bercerai barulah Alina tahu yang Alina bakal menjadi ibu. Waktu itu Alina sudah tidak berada di Kuala Lumpur kerana Alina telah berpindah ke sini,” terang Puan Alina sambil menangis teresak-esak.
“Abang maafkan Alina. Alina tak payah rasa bersalah kerana kita semua masing-masing ada membuat kesalahan.”
“Er, pak cik ni ayah Lia ke?” soal Alia mahukan kepastian. Ayahnya mengangguk.
“Akhirnya dapat juga Lia berjumpa dengan ayah kandung Lia. Selama ini Lia sentiasa berharap yang suatu hari nanti Lia dapat berjumpa ayah Lia.” terang Lia sambil memeluk ayahnya. Air mata sudah berjuraian jatuh membasahi pipi.
“Macam mana abang boleh berada di sini?” soal Puan Alina.
“Sebenarnya abang dari rumah adik ipar abang. Dia baru berpindah ke sini. Tadi abang dalam perjalanan ke sekolah untuk mengambil anak saudara abang yang baru habis belajar bersama kawan dia. Kejap ya abang nak telefon adik abang suruh dia pergi ambil anaknya,” terang Encik Rahim.
“Ayah, boleh Alia tahu siapa anak saudara ayah, sebab tadi Lia pun baru pulang dari sekolah.” tanya Alia.
“Anak saudara ayah tu, namanya Mohd Danial bin Lokman. Dia baru saja bertukar sekolah ke sini. Alia kenal ke dengan Danial?” soal ayahnya.
“Mestilah Lia kenal. Dia tu rakan sekelas Alia,” jawab Alia.
“Alina, abang pulang dulu ya. Malam nanti abang bawa isteri dan anak-anak abang. Mesti mereka semua gembira dapat berjumpa dengan Alina. Tambah-tambah lagi mereka akan dapat kakak,” jelas Encik Rahim sambil tersenyum gembira.
“Abang tak apa ke ni? Nanti isteri abang marah macam mana?”
“Alina tak payah risau, sebenarnya sejak dari dahulu lagi dia suruh abang mencari Alina. Katanya dia rasa bersalah merebut abang dari tangan Alina,” terang Encik Rahim kepada bekas isterinya.
Aku merasa gembira. Rupa-rupanya, Danial itu ialah sepupuku. Akhirnya keluarga aku sudah lengkap. Tidak sabar rasanya hendak berjumpa dengan adik-adik aku nanti. Pasti hidup aku tidak akan sunyi lagi dengan kehadiran mereka. Saat itu aku berasa bahagia sekali. Aku melihat emak tersenyum panjang. Tiada lagi wajah sayu seperti selalu. Syukur, alhamdulillah. Terima kasih Ya-Allah.
TAMAT